Proud people bring sorrow upon themselves

Friday, June 18, 2010

Melayu - Usman Awang

Melayu itu orang yang bijaksana, nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira, kurang ajarnya tetap santun
Jika menipu pun masih bersopan, bila mengampu bijak beralas tangan.

Melayu itu berani juka bersalah, kecut takut kerana benar
Janji simpan di perut, selalu pecah di mulut
Biar mati adat, jangan mati anak.

Melayu di tanah Semannjung luas maknanya:
Jawa itu Melayu, Bugis itu Melayu, Banjar juga disebut Melayu, Minangkabau memang Melayu, Keturunan Acheh adalah Melayu, Jakun dan Sakai asli Melayu, Arab dan Pakistani, semua Melayu, Mamak dan Malbari serap ke Melayu,
Malah mua'alaf bertakrif Melayu (setelah disunat anunya itu)

Dalam sejarahnya,
Melayu itu pengembara lautan, melorongkan jalur sejarah zaman,
Begitu luas daerah sempadan, sayangnya kini segala kehilangan.

Melayu itu kaya falsafahnya, kias kata bidal pusaka
Akar budi bersulamkan daya, gedung akal laut bicara.

Malangnya Melayu itu kuat bersorak, terlalu ghairah pesta temasya
Sedangkan kampung telah tergadai
Sawah sejalur tinggal sejengkal, tanah sebidang mudah terjual.

Meski telah memiliki telaga, tangan masih memegang tali
Sedang orang mencapai timba, berbuahlah pisang tiga kali,
Melayu itu masih bermimpi.

Walaupun sudah mengenal universiti, masih berdagang di rumah sendiri
Berkelahi cara Melayu:
Menikam dengan pantun, menyanggah dengan senyum
Marahnya dengan diam
Merendah bukan menyembah, meninggi bukan melonjak.

Watak Melayu menolak permusuhan, setia dan sabar tiada sempadan
Tapi jika marah tak nampak telinga, musuh dicari ke lubang cacing
Tak dapat tanduk telinga dijinjing
Maruah dan agama dihina jangan, hebat amuknya tak kenal lawan

Berdamai cara Melayu indah sekali, sillaturrahim hati yang murni
Maaf diungkap senantiasa bersahut,
Tangan diulur sentiasa bersambut, luka pun tidak lagi berparut

Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan, segala yang ada sanggup diberikan
Sehingga tercipta sebuah kiasan:
Dagang lalu nasi ditanakkan, suami pulang lapartak makan
Kera di hutan disusu-susukan, anal di pangkuan mati kebuluran.

Bagaimana Melayu abad dua puluh satu
Masihkah tunduk tersipu-sipu?
Jangan takut melanggar pantang, jika pantang menghalang kemajuan
Jangan segan menentang larangan, jika yakin kepada kebenaran
Jangan malu mengucapkan keyakinan, jika percaya kepada keadilan.

Jadilah bangsa yang bijaksana
Memgang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di negara Merdeka.

No comments: